MENCARI KEREDHAAN ALLAH
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut
yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita seharian ada perkara yang perlu kita segerakan
untuk dilaksanakan dan ada pula perkara yang perlu dijauhi dan ditinggalkan.
Setiap perkara yang ditegah atau dilarang sebenarnya terdapat beberapa hikmah
dan kebaikan samaada berbentuk luaran (fizikal) atau dalaman (hati dan
jiwa)
Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut adalah seperti
berikut :
Pertama : Jangan
sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur
akan dimaafkan.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah
meninggalkan solat”. (Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah SWT
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai
daripada solatnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).
Kedua : Jangan
masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut
kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.
Perlu biasakan memakai selipar atau terompak bila masuk ketandas atau
bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil
wuduk, supaya najis tidak dibawa keluar bilik air.
Ketiga : Jangan
makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia
membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.
Di dalam kitab Sunan Abi Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri
bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan
yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum.”
Jika cawan atau pingan kita retak , pecah atau sumbing hendaklah
dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi.
Ini termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum,
sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa
bahaya:
Kotoran yang biasanya ada dipermukaan air, akan berkumpul di bahagian
cawan yang sumbinng, lain halnya bahagian tepi cawan yang masih utuh.
1. Ia boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan
yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya biasa terhimpun di bahagian cawan yang pecah,
kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang
masih baik.
3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu
bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari
bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti
tidak ada baiknya.
4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian
yang runcing yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian
tersebut.
Adapun bernafas dalam air minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk
pada air minum yang tidak disukai orang lain, terutama sekali orang yang bau
mulutnya mengalami perubahan buruk. Pada dasarnya, secara umum nafas orang yang
minum akan bercampur ke dalam air tersebut.
Justeru, Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasalam menggabungkan antara
larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan
dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah melarang meniup air dan bernafas dalam air minum.”
Keempat : Jangan
biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan
mewarisi kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan
bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi makanan yang
dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan adalah
menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan
busuk.
Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan
menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit.
Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya
atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya
dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam
Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)
Kelima : Jangan
tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka
pintu rezeki dan keberkatan).
Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu
Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu
rezeki dibahagi-bahagikan?”
Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah
memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi:
‘اللهم بارك لأمتي في بكورها’
(Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi).
Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat Subuh.
Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah
supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya
Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:
يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق
الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس ‘
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah
engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan
rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis
Diriwayatkan al-Baihaqi)
Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam
al-Awsath:
باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح’
“Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi
itu adalah berkat dan kejayaan.”
Oleh itu para fuqaha’ menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh,
dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat
Subuh dan Asar.
Keenam : Jangan makan
tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.
Dari ‘Amr bin Abu Salamah radhiallahu ‘anhuma, katanya:
“Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Ucapkanlah Bismillah dan
makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di
dekatmu.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya:
“Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki
yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak
tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang
tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: ‘Bismillahi awwalahu wa
akhirahu.’ Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: “Tidak henti-hentinya
syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk
mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi
memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu
Dawud dan Nasa’i)
Ketujuh : Jangan
keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam
perjalanan dengan niat yang tidak baik.
Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah.
“Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah”
maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada
daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan
Nasai)
Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah,
serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan
niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.
Kelapan : Jangan
pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah
sahaja.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Jika engkau memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan. Jika
engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan
mula memakai kasut dan sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan
berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya”
(Silsilah as-Shahihah Albani)
Kesembilan :
Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
Allah Subhanahu Wa Taala berfirman maksudnya :
” Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan
pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka (
menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat
mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang
beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan
janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak
daripadanya.”( Surah An-Nur ayat 30-31 )
Kesepuluh :
Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah
ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana
sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan
lain-lain)
Kesebelas :
Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila
masa.
Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat
kepada Allah :
“Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu
mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa
kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu
dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah).”
Justeru itu bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah
dibuat secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke
masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar
atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai
dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak
menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.
Kedua belas :
Jangan ego (sombong) untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau
memang kita bersalah.
Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta maaf dan merendahkan diri
terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat terbaik terutama apabila
mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga sifat orang mukmin yang suka
meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang dirasakan bersalah .
Di dalam surah al-Israk, firman Allah yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan
kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika
salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau
menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang
mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Israk ayat 23)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
“Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang
lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang
lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya
dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak
ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa
itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar
perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula
tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta
dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Ketiga belas :
Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang
bahagia.
Dari Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang
bermaksud,
” Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, “Allah dan Rasul yang
lebih mengetahui. ” Maka Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , “Ghaibah itu jika
kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu
disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah.” Lalu
Rasulullah SAW ditanya,” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “Jawab
Rasulullah SAW ” Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi
jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang
lain).
Keempat belas :
Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong
apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah,
maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah
al-Thalaq ayat 3).
Kelima belas :
Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT dan
kematian yang buruk.
Rasulullah SAW bersabda:
“Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang
bakhil.” (Hadis Riwayat Al Khatib)
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan
dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Dari Abu Hurairah r.a, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda
:
“Apabila mati anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah
jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya
untuknya.”(Hadis Riwayat Bukhari).
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka
hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak
mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat
Ahmad dan Muslim)
Keenam belas :
Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
Suatu ketika, Rasulullah SAW berjalan di depan sekumpulan orang yang
sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua
tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan
sabda baginda yang bermaksud:
“Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah
kita.”
Ketujuh belas :
Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan
kasih orang kepada kita.
Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang
bermaksud :
“Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu
didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah
berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan
menyulitkan kamu di kemudian hari.”
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :
“Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia
adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka
padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila
bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat
ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no.
2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)
Kelapan belas :
Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat
dimakbulkan Allah SWT.
Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi di fitnah sungguh mustajab di
sisi Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia
adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk
diterima oleh Allah.”(Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa
itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara.”(Hadis riwayat
Hakim – sanad sahih)
Kesembilan belas
: Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan
hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai
memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan,
kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan
syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran., anggaplah
kesukaran di dunia adalah bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus
asa dengan rahmat Allah.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :
“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah
itu melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusof ayat 87).
Sabda Nabi SAW maksudnya;
“Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang
engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang,
Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok
kemudian bangun dan meninggalkannya. “
Kedua puluh :
Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk
keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga
dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah
sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke
lambah kebinasaan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika
bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah,
berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan
iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya
sendiri.”(Hadis Riwayat Abu Syeikh)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita tinggalkan dan jauhi 20 perkara keburukan
semata-maat untuk mencari keredaan Allah SWT. Hidup di dunia adalah sementara
dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Pertingkatkanlah amal-amal soleh
kita dan jauhi kemugkaran, maksiat, perkara subhat dan makruh supaya kita
menjadi mukmin yang bertakwa dan dikasihi oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment